Tuesday, March 8, 2011

Inspirasi Alam dan Haiwan

Semester ni saya beri tajuk tema untuk pelajar kejuruteraan saya satu tajuk yang saya rasa agak menarik. Tajuk ni secara tiba-tiba je terlintas di fikiran saya dan masa tu cepat-cepat saya tulis supaya saya tak lupa. Bila puan penyelaras kursus minta saya fikirkan tema apa yang kami perlu beri kepada pelajar untuk semester ni, apa lagi teruslah saya bagi tajuk tema ni dengan rasa bangganya (sebab memang dah peram lama kan...).

Seperti semester lepas, saya dapat 4 kelas untuk mengajar pelajar kejuruteraan. Cumanya semester ni pelajar lelaki lebih ramai berbanding pelajar perempuan. Dengan seramai 73 orang pelajar kulliyyah kejuruteraan saya, cuma 25 sahaja pelajar perempuan. Selebihnya seramai 42 orang ialah pelajar lelaki.

Pelajar lelaki mengikut pengalaman saya ada macam-macam perangai. Perangai pertama yang berjaya saya kesan ialah pelajar yang memang malas-malas sikit. Mereka ni kalau datang ke kelas selalunya memang muka pun nampak tak berminat tapi yang bagusnya mereka tetap jugak datang. Mereka ni bukanlah tak pandai, tapi entah kenapa motivasi mereka nak belajar ni berada pada tahap yang rendah. Agaknya dah terlalu bosan kot nak belajar BM sebab dah belajar dari sekolah-sekolah lagi...Yang kedua pulak ialah yang memang rajin dan berminat untuk belajar. Kategori yang kedua ni memang pelajar yang berminat pada setiap kali mereka masuk ke kelas saya. Biasanya pelajar ni bila buat pembentangan, mereka akan cemerlang. Tapi saya jarang dapat pelajar macam ni.

Perangai pelajar saya yang lain pula ialah pelajar yang biasa-biasa je. Mereka ni boleh kata tak banyak bawa masalah kepada saya. Datang ke kelas macam biasa dan kadang-kadang kumpulan pelajar macam ni boleh memeriahkan kelas. Mereka ni lebih berani dan bersikap terbuka. Saya suka pelajar macam ni sebab mereka buatkan saya tak kekok dan senang untuk mengajar mereka.

Ada satu lagi kategori pelajar saya yang nampak dari segi luarannya macam tak berminat dan tak akan beri banyak sumbangan dalam kelas tapi bila diberi satu-satu tanggung jawab seperti tugasan untuk pembentangan dalam kelas ke atau pembentangan dalam kumpulan, bakat mereka yang tersembunyi tiba-tiba terserlah. Boleh kata hampir dalam setiap semester saya akan dapat pelajar macam ni. Agaknya selagi tak dicungkil bakat mereka, memang selama-lamanya la kot duduk terperuk macam tu.

Berbalik pada tugasan pembentangan pelajar-pelajar saya untuk semester ni, saya sebenarnya agak kagum dan berbangga dengan hasilnya. Saya tidak sangka tema yang saya utarakan sebagai tajuk pembentangan ini membolehkan pelajar saya menerokai banyak ilmu yang selama ini saya sendiri pun tak pernah tahu. Adalah sesuatu yang membanggakan sekiranya pelajar-pelajar saya lebih mengetahui sesuatu perkara lebih daripada diri saya sendiri.  Saya kerap ingatkan kepada diri saya, sesi pembelajaran di dalam kelas ialah sesi perkongsian ilmu. Apa-apa ilmu yang saya lebih tahu akan saya kongsikan bersama pelajar saya dan apa-apa pun ilmu yang pelajar saya tahu, saya berharap saya dapat juga berkongsi bersama mereka.

Saya ucapkan syabas kepada semua pelajar Kulliyyah Kejuruteraan saya kerana berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang!

0 comments:

Post a Comment