Sunday, March 6, 2011

Fomema

Tahun ni dah masuk tahun ketiga maid saya sambung untuk kerja dengan saya. Memang satu kelegaan yang besar untuk saya. Mulanya dia memang dah nak balik tapi bila saya dan suami sibuk-sibuk cari maid pengganti dia, tiba-tiba dia bagitahu tak jadi nak balik kampung dan plan nak sambung lagi kerja dengan saya. Saya pun apa lagi, melompat-lompat la kesukaan. Sebenarnya faktor utama dia nak sambung kerja dengan saya ialah faktor hutang. Dia masih belum melunaskan sebahagian besar hutangnya kepada ibu bapa mertuanya. Dia membuat pinjaman untuk membina rumahnya sendiri di kampung. Lagipun suami dia memang masih bekerja sebagai tukang paip di sini lagi.

Jadi bila dah nak tamat tempoh permitnya, saya terpaksa  lagi sekali membuat medical check-up untuknya. Urusannya agak mudah kalau kita buat sendiri sahaja. Saya dapat tahu ada separuh daripada agen mengambil upah sehingga RM300 untuk menguruskan urusan di Fomema itu sahaja. Jumlah itu sebenarnya memang agak tinggi berbanding dengan kemudahan dan kesenangan kalau kita sendiri yang membuatnya.

Perkara pertama yang mesti kita buat ialah membeli wang pos sebanyak RM190 di mana-mana pejabat pos. Saya nasihatkan beli dahulu wang pos ini. Sebab bila dah sampai di Pusat Bandar Damansara, dapatlah menjimatkan masa dengan hanya menguruskan hal-hal di Fomema sahaja. Bila dah ada wang pos tersebut, terus ke pejabat Fomema di tingkat tiga, blok G, Pusat Bandar Damansara. Jangan lupa bawa pasport asal pembantu kita. Sampai di sana, kita akan diminta untuk menunjukkan pasport dan wang pos akan diminta. Kalau tak sempat tulis nama penerima di wang pos pun tak apa sebab petugas di kaunter pertanyaan itu memang dah ada lengkap dengan cop mereka sendiri. Selepas tu kita akan ditanya di klinik mana yang berdekatan dengan rumah kita yang akan kita pilih untuk kita buat medical check-up. Jangan lupa pilih klinik yang buat semuanya sekali di situ. Maksud saya, klinik yang boleh buat check-up dan juga x-ray sekali gus. Sebab ada sesetengah klinik yang hanya buat check-up. X-ray kita terpaksa pula pergi ke klinik lain. Kan susah dan leceh kalau macam tu.

Lagi satu ada borang yang perlu kita isi. Borang ni ada di laman sesawang Fomema. Kalau boleh print siap-siap di rumah dan isi. Kalau tak sempat buat, di kaunter tu pun dah disediakan borang tersebut. Memang efisyen kaunter ni. Lepas dia dah semak pasport dan dah cop wang pos, petugas tu terus bagi nombor yang dilekatkan sekali dengan borang dan wang pos kita.

Lepas tu kita pun tunggulah sehingga nombor kita dipanggil. Selepas dipanggil, kita serahkan semua borang tersebut dan kita akan diminta untuk duduk sebentar. Tak sampai beberapa minit, nama majikan akan dipanggil semula dan kita boleh semak status pembantu kita di laman sesawang mereka dalam tempoh 10 hari bekerja. Itu sahaja. Senang kan! Jadi, lebih baik kita buat sendiri sebab masa yang perlu kita luangkan hanyalah dalam lingkungan satu jam sahaja. Kalau orang tak ramai, silap-silap dalam setengah jam sahaja dah siap.

Jadi sekarang ni saya dalam proses menunggu keputusan tahap kesihatan pembantu saya. Selepas diluluskan, saya akan ke Imigresen pula untuk urusan memperbaharui permit pekerja pula...

0 comments:

Post a Comment