Sekolah Haqim antara sekolah cemerlang dalam daerah di Selangor. Untuk kekal dalam kedudukan tersebut, sekolahnya telah merancang banyak program untuk murid-murid darjah 6. Salah satu program tersebut dipanggil Program Elite dan satu lagi dipanggil Program Jeri.
Apa yang menimbulkan persoalan saya ialah kedua-dua program itu berbeza.
Program Elite khusus untuk murid-murid yang guru sekolahnya jangkakan akan mendapat keputusan 5 A. Manakala program Jeri sebaliknyalah.
Semasa pertemuan ibu bapa murid-murid darjah 6 dengan guru-guru yang mengajar murid-murid darjah 6 ini pada awal tahun, ibu bapa telah dimaklumkan dan diyakinkan yang kedua-dua program ini tidak ada bezanya. Pembaharuan kononnya akan dilakukan pada tahun ini iaitu murid-murid yang akan mengikuti kedua-dua program tersebut akan dibawa untuk bermalam di tempat yang akan ditentukan kelak. Jadi, pada masa itu ibu bapa pun tak banyak soal sebab bagi mereka nama program sahaja berbeza, tetapi pengisiannya sama. Ini termasuklah juga saya.
Bagaimanapun keadaan tidak seperti yang dijanjikan. Baru-baru ini telah berlangsung program Jeri dan murid-murid yang dikenalpasti tidak akan membawa nama harum sekolah hanya sekadar diberi kursus tersebut di salah satu tempat yang tidak begitu glamour iaitu hanya sekadar di dewan MPOB berdekatan dengan kawasan tempat tinggal kami sahaja. Murid-murid ini tidaklah dibawa kemana-mana resort untuk bermalam seperti yang pernah dinyatakan oleh salah seorang guru kanan sekolah tersebut.
Manakala program Elite telah mendapat layanan yang berbeza. Bukan sahaja nama program tersebut terpampang di banner hadapan sekolah, tempat yang disediakan untuk murid-murid terpilih ini juga agak menarik iaitu di salah satu resort peranginan di Port Dickson.
Saya bukanlah kisahkan sangat tempat program tersebut diadakan. Apa yang menimbulkan rasa tak puas hati saya ialah bagaimana sekolah di peringkat rendah lagi telah tahu membezakan murid-muridnya. Memamg betul sekolah perlu menjaga nama baiknya tetapi pada pandangan saya, ada pendekatan lain yang wajar diambil supaya murid-murid yang ketinggalan, kurang cemerlang, tidak berkeyakinan tidak terus merasakan terkebelakang atau terpinggir oleh guru mereka sendiri.
Pemilihan nama juga haruslah tidak terlalu menonjol supaya murid-murid terpilih yang memang hebat tidak terdidik dengan amalan berbangga diri. Sifat rendah diri, bantu-membantu wajar diutamakan berbanding dengan sikap terlalu mengejar ranking sekolah.
Berapa ramai yang pernah kita dengar, baca dan tahu berkaitan sikap anak-anak yang pandai, berpendidikan, terpelajar tapi membiarkan ibu bapa tanpa penjagaan yang khusus. Pada waktu itu tidak gunanya lagi semua harta dan juga pangkat jikalau nasib kedua orang tua yang menyekolahkan kita dari kecil terbiar begitu sahaja tanpa pembelaan.
1 comments:
Makin canggih blog mm nie.... mcm2 ada... ptt leh jdk writer buku dh nie.....
Post a Comment