Seri bersama mak angkat keduanya semasa sesi perjumpaan sementara
Seri seekor kucing. Tak tahu atas dasar apa,baru-baru ni semua kucing di tempat kerja saya semuanya telah diangkut dan dibuang daerah. Seorang sahabat saya, Alia (bukan nama sebenar) sangat obses dengan kucing dan kalau boleh dipanggil 'mak kucing, dialah orangnya. Ini kerana di rumahnya sahaja terdapat 37 ekor kucing! Memang cerita benar. Bagaimanapun semua kucingnya, saya ulang, semua kucingnya mendapat layanan mewah. Semuanya divaksin, diberi vitamin, mempunyai ruang bermain,ada ruang tidur,ada sangkar mengasah kreativiti,ada temujanji berjumpa doktor haiwan malahan kucing-kucing ini diberi makanan yang terlebih dahulu telah dikaji supaya tidak akan mendapat kesan jangka panjang iaitu penyakit kanser!
Hehehe...memang melucukan tetapi itulah hebatnya Alia yang tak pernah lagi saya jumpa dalam ramai-ramai saya berkawan. Sungguhpun Alia mempunyai peel sendiri tapi saya telah lama berkawan dengannya. Dia dan Nina,teman baiknya adalah antara rakan-rakan yang menziarah dan datang melawat kala kelahiran anak ke-4 dan ke-5 saya dan sudi berkongsi sedih semasa emak saya meninggal. Saya tak lupakan ingatan mereka pada saya semasa saya gembira mahupun sewaktu saya bersedih.
Berbalik pada kisah Seri tadi, selepas mendapat tahu Seri hilang kerana dibuang, maka bermulalah episod lara di hati Alia. Dia berusaha keras untuk menjejaki Seri seboleh mungkin. Alia yang mula tidak keruan mencari kontraktor yang bertanggungjawab semasa operasi membuang kucing dijalankan. Sebaik mendapat maklumat lokasi pembuangan kucing-kucing tersebut, Alia tanpa berlengah menggeledah semua lokasi yang dinyatakan sehinggakan tak mengenal siang dan juga malam. Walaupun mendapat reaksi serong pelbagai pihak, semua itu tidak dipedulikannya.
Akhirnya akibat buntu dan makin tertekan, seorang lagi emak angkat Seri, Zita (juga bukan nama sebenar) mencadangkan Alia membuat flyer supaya mudah menjejaki Seri. Alia yang terdesak bersetuju dengan cadangan bernas itu dan tanpa lengah membuat flyer dalam jumlah yang sangat banyak. Mujur gambar Seri berjaya dirakamkan sebelum tragedi hitam tersebut.
Sebaik flyer berjaya disiapkan, Alia sekali lagi bekerja keras menghantar setiap flyer tersebut di kawasan perumahan dan tempat-tempat yang disyaki. Dalam waktu yang sama, Alia juga tidak putus-putus berdoa, bersembahyang hajat memohon agar ditemukan kembali dengan kucing gelandangannya. Alia juga kerap bermimpi berjumpa dan bertemu dengan Seri kesan daripada ingatan dan kacau-bilau hidupnya akibat kehilangan Seri. Apa yang tambah menarik, Alia turut sama mengerah rakan-rakannya secara paksa rela untuk turut serta dalam operasi jejak kucing ini.
* akan bersambung lagi...
Welcome to the blog!
-
Welcome to the Daniel Zain Photography blog. To view my professional work,
please click on the 'categories' section on the right.
For bookings in Malaysia ...
9 years ago
0 comments:
Post a Comment