Monday, December 12, 2011

Ombak Rindu II

Saya tak tengok Puss in Boots tapi mengikut standard anak-anak saya semuanya berpuas hati. Saya juga tak tengok Breaking Dawn tapi ikut piawai anak saya juga tidak mengecewakan. Tapi saya tengok Ombak Rindu jadi saya boleh beri pendapat dan pandangan saya tentang filem ini.

Pertama yang saya perlu beritahu saya tidak puas menonton filem ini (saya masih belum membaca novel ini sebenarnya) kerana saya rasakan ada banyak konflik yang tidak dapat dihuraikan dan dimuatkan untuk tontonan selama 2 jam 5 minit. Mungkin akibat kekangan masa tayangan maka pengarah terpaksa hanya memilih bahagian yang dikirakan penting sahaja untuk diketengahkan.



Lakonan Aaron dan Maya bagi saya menyerlah walaupun kisah tercetusnya bibit-bibit percintaan mereka tidak dapat dilakukan dengan begitu mendalam. Maya yang sentiasa berjaya membawakan mimik muka seperti yang dikehendaki dalam lakonan, berjaya menjiwai sepenuhnya lakonan dan watak beliau sebagai Izzah. Saya simpati dan sedih mengenang kisah gadis malang yang sanggup berkorban demi maruah dan agamanya.

Aaron dengan perwatakan tampan dan sasa pula saya lihat merupakan pemilihan tepat pengarah untuk watak bernama Hariz. Kelebihan pada wajah dan ketinggian beliau juga telah meletakkan Hariz lelaki yang dibenci pada awalnya namun berjaya mendapat simpati penonton pada akhirnya.

Lisa yang julung-julung kali memegang watak antogonis akhirnya dapat lari daripada kebiasaan watak stereotype beliau. Sikap panas baran dan biadapnya bakal meletakkan Lisa sebagai pelakon yang lebih matang walaupun kadang-kala saya lihat aksi marahnya agak 'comel' dek kerana parasnya yang memang telah sedia cantik.

Ada banyak babak yang kelihatan lemah dari segi skrip dan jalan ceritanya. Saya tak dapat nak menulis di sini kerana saya perlu menontonnya untuk kali kedua atau kali ketiga kerana pandangan itu bagi saya barulah dikira adil dan tepat.

Keseluruahan Ombak Rindu merupakan naskhah yang baik untuk diketengahkan ke sebuah filem walaupun masih ada kelemahan dan kekurangan di sana sini tapi cukup untuk menambahkan lagi khazanah perfileman Melayu yang sedang penuh dan rancak dengan limpahan filem berunsur seram, karut dan samseng. Sesuatu yang agak mengecewakan juga kerana filem-filem sekarang masih tidak berjaya meletakkan diri mereka sebaris dengan filem-filem hebat seperti Abang, rangkaian filem Esok mahupun Nur Kasih. Saya berharap pada masa akan datang akan muncul lagi filem-filem berat berasakan drama kekeluargaan ataupun konflik percintaan kerana masih banyak lagi novel-novel bermutu yang masih lagi menunggu untuk diketengahkan ke khalayak.

0 comments:

Post a Comment