Friday, December 23, 2011

Generasi Y yang tidak bersarapan

Pada minggu-minggu terakhir semester, entah kenapa saya teringin hendak bertanya berkaitan dengan tabiat bersarapan pelajar-pelajar saya. Tidak mengejutkan apabila hampir keseluruhan pelajar saya tidak mengambil sarapan pagi sebelum mereka pergi ke kelas.

Mengapa mereka tidak bersarapan?

Antara alasan yang biasa dikemukakan ialah :

1.Tak sempat
2.Pagi-pagi tak selera
3.bla...bla..bla..
4.bla...bla...bla..bla..


Menurut kajian , kanak-kanak yang bersarapan lebih fokus semasa di dalam kelas berbanding kanak-kanak yang tidak bersarapan. Sarapan juga diumpamankan seperti memanaskan enjin kereta pada awal pagi ataupun seperti mengisi minyak kereta. Jika enjin tidak dipanaskan maka kereta pun lambat bertindak balas dan kalau kereta tidak diisi minyak, kereta tersebut tidak dapat bergerak.

Ada sesetengah pendapat menyatakan sikap sentiasa meninggalkan sarapan merupakan satu habit yang tidak baik terutamanya untuk tahap kesihatan yang maksimum. Sekiranya kita tidak bersarapan, maka kita akan berpotensi untuk makan dengan lebih banyak pada waktu tengah hari disebabkan tempoh yang agak lama perut kita berlapar. Namun demikian sekiranya kita bersarapan, waktu makan tengah hari boleh dilewatkan sekiranya alasan tidak sempat digunakan. 

Bagi golongan pelajar pula, keperluan bersarapan merupakan satu tuntutan yang penting kerana keperluan otak pelajar-pelajar ini diperlukan sepanjang hari terutamanya semasa proses menerima ilmu berlangsung.  (Baca lebih tentang perkara INI). Jika mereka kerapa mengamalkan tabiat tidak bersarapan ini, maka tidak mustahil generasi akan datang bakal menjadi generasi yang tidak bersarapan. Mungkin agak keterlaluan, tetapi keadaan ini boleh berlaku.

Jadi untuk melahirkan generasi Y yang bersarapan dan menjadi generasi yang mampu membangunkan negara kelak, mulakan hari anda dengan BERSARAPAN! :)




Wednesday, December 14, 2011

Johor Premium Outlet

Saya belum sampai lagi tapi saya dengar dan dah tengok semua cerita yang berkaitan dengan tempat ini. Tak sabar nak pergi. Biras saya, Zai telah emailkan tentang perkara ini daripada seorang blogger yang dah pernah pergi sana. Jadi sesiapa nak baca dengan lebih lanjut boleh baca di sini.Yang ini pulak ialah laman sesawang JPO ni. Sila klik sini  kalau nak tahu dengan lebih lanjut lagi.

Jadi, pada akhir tahun ini dan menjelang tahun baru nanti, kesitulah saya dan keluarga akan pergi bercuti....yey...

Monday, December 12, 2011

Ombak Rindu II

Saya tak tengok Puss in Boots tapi mengikut standard anak-anak saya semuanya berpuas hati. Saya juga tak tengok Breaking Dawn tapi ikut piawai anak saya juga tidak mengecewakan. Tapi saya tengok Ombak Rindu jadi saya boleh beri pendapat dan pandangan saya tentang filem ini.

Pertama yang saya perlu beritahu saya tidak puas menonton filem ini (saya masih belum membaca novel ini sebenarnya) kerana saya rasakan ada banyak konflik yang tidak dapat dihuraikan dan dimuatkan untuk tontonan selama 2 jam 5 minit. Mungkin akibat kekangan masa tayangan maka pengarah terpaksa hanya memilih bahagian yang dikirakan penting sahaja untuk diketengahkan.



Lakonan Aaron dan Maya bagi saya menyerlah walaupun kisah tercetusnya bibit-bibit percintaan mereka tidak dapat dilakukan dengan begitu mendalam. Maya yang sentiasa berjaya membawakan mimik muka seperti yang dikehendaki dalam lakonan, berjaya menjiwai sepenuhnya lakonan dan watak beliau sebagai Izzah. Saya simpati dan sedih mengenang kisah gadis malang yang sanggup berkorban demi maruah dan agamanya.

Aaron dengan perwatakan tampan dan sasa pula saya lihat merupakan pemilihan tepat pengarah untuk watak bernama Hariz. Kelebihan pada wajah dan ketinggian beliau juga telah meletakkan Hariz lelaki yang dibenci pada awalnya namun berjaya mendapat simpati penonton pada akhirnya.

Lisa yang julung-julung kali memegang watak antogonis akhirnya dapat lari daripada kebiasaan watak stereotype beliau. Sikap panas baran dan biadapnya bakal meletakkan Lisa sebagai pelakon yang lebih matang walaupun kadang-kala saya lihat aksi marahnya agak 'comel' dek kerana parasnya yang memang telah sedia cantik.

Ada banyak babak yang kelihatan lemah dari segi skrip dan jalan ceritanya. Saya tak dapat nak menulis di sini kerana saya perlu menontonnya untuk kali kedua atau kali ketiga kerana pandangan itu bagi saya barulah dikira adil dan tepat.

Keseluruahan Ombak Rindu merupakan naskhah yang baik untuk diketengahkan ke sebuah filem walaupun masih ada kelemahan dan kekurangan di sana sini tapi cukup untuk menambahkan lagi khazanah perfileman Melayu yang sedang penuh dan rancak dengan limpahan filem berunsur seram, karut dan samseng. Sesuatu yang agak mengecewakan juga kerana filem-filem sekarang masih tidak berjaya meletakkan diri mereka sebaris dengan filem-filem hebat seperti Abang, rangkaian filem Esok mahupun Nur Kasih. Saya berharap pada masa akan datang akan muncul lagi filem-filem berat berasakan drama kekeluargaan ataupun konflik percintaan kerana masih banyak lagi novel-novel bermutu yang masih lagi menunggu untuk diketengahkan ke khalayak.

Saturday, December 10, 2011

Ombak RIndu, Breaking Dawn dan Puss in Boots.

Lama tak menonton disebabkan banyak sebab. Masa, filem, keadaan dan yang sewaktu dengannya. Esok saya dan suami akhirnya dapat mencari waktu dan filem yang rasa-rasanya sesuai untuk ditonton oleh kami semua seisi keluarga. Apatah lagi sekarang ni musim cuti sekolah.

Jadi saya dan suami akan menonton Ombak Rindu, Haqim memilih Brekaing Dawn manakala Hanan , Sakina, Husna termasuklah si kecil Maryam akan menonton Puss in Boots. Sebelum menonton saya tak dapat nak ulas apa-apa mengenai Ombak Rindu. Memang tak nak ketinggalan daripada fenomena menonton filem itu sementelah dikatakan berjaya mengutip RM5 juta dalam tempoh lima hari sahaja!

Benarkah filem itu seperti yang digambarkan? Apa hebatnya? Saya betul-betul mengharapkan penghayatan pelakon dan kekuatan skrip yang bagi saya adalah segala-galanya untuk sesebuah penceritaan berjaya selain daripada idea asli yang diketengahkan.



Tak sabar saya menunggu hari esok.

Thursday, December 8, 2011

Siapa sahabat sejati?


Siapa sahabat sejati dalam hidup kita? Sebenarnya apa maksud sahabat dalam pengertian yang mudah?

Bagi saya seorang sahabat ialah apabila kita berdamping dengannya kita akan rasa seronok. Banyak perkara yang kita dan dia boleh lakukan bersama-sama. Ada masa kita mungkin akan berselisih faham, tapi akhirnya hubungan itu akan dapat bertaut kembali. Persahabatan akrab akan lebih berkesan sekiranya kita tidak putus hubungan. Nilainya akan bertambah berharga sekiranya pertemuan dan hubungan itu tidaklah terlalu selalu namun tidak pula terlalu lama. Jika selalu bimbang akan berseteru dan jika terlalu lama bimbang akan lupa.

Sahabat sejati payah dicari seumpama mencari permata hitam di malam yang kelam. Ada yang bertambah malang kerana ada orang yang langsung tidak bertemu sahabat sejati.

Saya berdoa nilai persahabatan dalam diri saya akan kekal sebagaimana saya perlukan nilai-nilai persahabatan daripada mereka.



Wednesday, December 7, 2011

Sarah dan Scoliosis


Anak saudara saya, Sarah telah dikesan dengan penyakit scoliosis. Apa itu scoliosis? Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh baca ni. Mula-mula kedudukan tulang belakang Sarah yang sedikit bengkok tidaklah begitu ketara namun akibat perubahan hormon perempuan selepas baligh, secara perlahan-lahan telah menampakkan perubahan. Mujur kakak saya,Along, mengambil langkah tepat dengan meminta nasihat pakar tentang perkara ini.

Rawatan seperti inilah yang akan dilakukan kepada Sarah 

Ni pulak screw yg akan dimasukkan ke dalam tulang belakang tersebut


Dipendekkan cerita, tarikh hari ini dipilih untuk doktor melakukan pembedahan major untuk memperbaiki tulang belakang tersebut supaya aktiviti pembengkokan tulang dapat ditamatkan.

Angah berdoa Sarah akan cepat baik seperti sedia kala ya.