Wednesday, December 7, 2011

Sarah dan Scoliosis


Anak saudara saya, Sarah telah dikesan dengan penyakit scoliosis. Apa itu scoliosis? Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh baca ni. Mula-mula kedudukan tulang belakang Sarah yang sedikit bengkok tidaklah begitu ketara namun akibat perubahan hormon perempuan selepas baligh, secara perlahan-lahan telah menampakkan perubahan. Mujur kakak saya,Along, mengambil langkah tepat dengan meminta nasihat pakar tentang perkara ini.

Rawatan seperti inilah yang akan dilakukan kepada Sarah 

Ni pulak screw yg akan dimasukkan ke dalam tulang belakang tersebut


Dipendekkan cerita, tarikh hari ini dipilih untuk doktor melakukan pembedahan major untuk memperbaiki tulang belakang tersebut supaya aktiviti pembengkokan tulang dapat ditamatkan.

Angah berdoa Sarah akan cepat baik seperti sedia kala ya.

Sunday, November 27, 2011

Salam Maal Hijrah




Tahun 1433 datang dengan rezeki kepada kita yang masih hidup untuk diberikan peluang supaya kita dapat lagi beramal. Semoga amalan saya pada tahun baru ini akan bertambah meningkat dari tahun-tahun sebelumnya...terima kasih tuhan...

Sunday, November 13, 2011

Bengkel e-learning

Saya dan beberapa orang rakan saya dari DBM telah dipilih untuk menghadiri satu bengkel baru-baru ini. Bengkel ini berkaitan dengan pengajaran mengikut kaedah era baru itaitu kaedah e-learning. Dunia sekarang sangat jauh berbeza dengan zaman sewaktu saya belajar dahulu. Pelajar sekarang jauh ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi yang tidak pernah berhenti walaupun sejenak. Sebagai contohnya, pelajar-pelajar saya sangat cemerlang dengan perkembangan teknologi sekarang. Saya kerap perlu bertanya kepada mereka berkaitan dengan perkembangan terkini dan mereka sangat senang hati untuk berkongsi ilmu mereka.Seperkara lagi sikap terhadap pembelajaran mereka juga telah berubah kerana ada ketikanya kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dan berkesan lebih menjadi pilihan kerana kaedah ini dirasakan lebih menarik berbanding kaedah konvensional. Saya berharap dapat menguasai dan mengikut arus perubahan teknologi dan perkembangan terkini supaya saya dan pelajar saya sama-sama akan mendapat manfaat sepenuhnya dengan kemajuan terkini.

Tuesday, October 4, 2011

Parking siapa?

Masalah tempat letak kereta di tempat kerja saya makin tambah parah. Oleh kerana kelas saya di merata-rata tempat di seluruh UIAM, maka terpaksa la pula saya menumpang-numpang parking di mana-mana kulliyyah yang berkaitan. Masalahnya hampir kesemua kulliyyah telah berjaya meletakkan tanda tempat parking masing-masing jadi kalau kita pandai-pandai jugak parking, memang alamat lah jawabnya. ada yang lagi cerdik, terus letak penghadang. Memang sah-sah tak dapat masuk kalau kita dari planet lain. Saya pernah masuk ke salah sebuah parking yang sedia tertulis nombor plat kereta. Masa tu salah seorang kawan saya beritahu, dia mungkin tak datang ke pejabat hari ni. Dengan gembiranya saya pun masuklah selepas berpeluh-peluh dan berpusing-pusing merata-rata dek kerana mencari parking. Alih-alih bila saya nak balik aje tengok-tengok kereta saya dah siap kena clamp. Punyalah sedih sebab saya terpaksa berjalan kaki ke pejabat keselamatan untuk membayar saman sebab pegawai berkaitan tak akan melayan kalau saya mintak mereka datang ke tempat kereta saya di'gari'. Nasib baik ada salah seorang kawan saya yang baik dapat tolong dan hantar saya ke pejabat keselamatan. Apa yang tambah menyedihkan, rupa-rupanya tuan punya tempat parking tersebut telah membuat aduan kerana saya telah masuk ke tempat parking dia. Agaknya punyalah marah sebab bila dia datang-datang aje, tengok-tengok entah sapa la pulak yang masuk tempat parking dia. Apa lagi dengan penuh sakit hatinya, terus la dia telefon pak guard mintak clampkan kereta saya. Sampai hati betul buat macam tu. Dahlah datang tak kira waktu. Kalau datang awal tak apa lah jugak, ni datang dah tengah hari masa semua parking dah penuh. Macamana lah saya tak naik bengang dibuatnya. Macam la harta sendiri, semua ni sementara aje tau. Agaknya kalau saya tanya dialah soalan macam ni, inilah jawapannya, "Parking siapa?, "Parking saya.!! Grrrrrr......

Thursday, September 15, 2011

Semester baru

Minggu ni bermula la semester baru selepas lama bercuti. Seronok betul bercuti lama-lama, Rasa macam budak-budak pun ada. Seperti semester-semester lepas, kelas saya sampai 18 jam selama seminggu. Sebabkan saya tak sempat nak kejar kelas pukul 8 pagi, jadi kelas saya akan habis petang setiap hari. Adoi memang penatla badan ni sementara nak biasakan balik. Tapi apa-apa pun semester ni saya ok la sikit berbanding semester lepas sebab macam bersemangat sikit. Agaknya sebab umur pun dah 40 tahun jadi harapan nak tukar-tukar tempat kerja tu memang macam tak ada harapan jadi duduk ajelah mengajar kat sini. Ikut-ikutkan kerja saya ni tak de la susah sangat pun tapi entah apa la yang ada dalam kepala saya ni, tu yang nak fikir yang bukan-bukan aje. Jadi, selamat maju jaya kepada saya untuk semester ini.

Saturday, August 13, 2011

Mengajar anak berpuasa


Anak-anak saya seperti tahun-tahun yang lepas dah bersedia bila saya beritahu mereka perlu berpuasa pada tahun ini. Mula-mula saya bercadang hendak melatih Husna yang baru ke darjah 1 pada tahun ini, untuk turut sama bersama-sama kakak-kakaknya, iaitu Hanan (10 tahun) dan Sakina (9 tahun ) berpuasa tetapi memandangkan sembahyangnya pun masih lagi belum cukup, jadi saya pun tidaklah begitu memaksanya.

Sebenarnya hajat saya ini bertukar selepas saya membaca entri dari Wardina Saffiyah yang dihantar di laman Twitternya. Dia berkata tidak terdapatpun nas yang menyuruh anak-anak berumur sekian-kian mula berpuasa sebagaimana nas yang menyuruh ibu bapa mengajar dan mendidik anak-anak sembahyang seawal usia 7 tahun dan merotannya jika mereka masih ingkar apabila mencapai usia 10 tahun. Pendirian saya serta-merta bertukar kerana saya turut bersetuju dan mengiyakan pendapatnya. Anak-anak yang masih membesar perlukan khasiat dan walaupun proses berpuasa tidak akan menjejaskan tumbesaranya tapi kita sebagai ibu bapa tidaklah perlu terlalu tegas semasa melatih anak untuk berpuasa. Mungkin pada awalnya kita hanya perlu mengajar mereka berpuasa sekerat hari sahaja dan apabila mereka semakin biasa, secara tidak langsung mereka akan mula bertahan sehinggalah sampai waktu berbuka yang sebenar.

Amalan mengajar anak-anak bersembahyang seawal usia yang disarankan bukanlah perkara yang mudah. Tambahan bila kita perlu memastikan anak-anak perlu bukan setakat bersembahyang tetapi bersembahyang lima waktu. Menurut pandangan Wardina, dia berjaya melatih anaknya yang sulung (saya kurang pasti usia sebenar anaknya, mungkin dalam lingkungan usia 8/10 tahun) bersembahyang lima waktu. Bagi saya itu merupakan satu usaha yang patut kita pandang tinggi kerana saya maklum akan kesukaran untuk mendisiplinkan anak-anak pada usia begini kerana ia menuntut kesabaran yang bukan kepalang.

Seandainya anak-anak telahpun diterapkan dengan rutin bersembahyang selama lima waktu ini, saya berasakan kalau kita ingin melatih mereka berpuasa pun pada waktu ini mungkin masalah yang akan timbul  tidaklah begitu besar.

Sesuatu perkara yang amat biasa kita saksikan di kalangan masyarakat kita sekarang ialah rata-rata mereka berpuasa tetapi untuk menunaikan sembahyang lima waktu itu agak berat, apatah lagi untuk menunaikan sembahyang sunat tarawikh pada waktu malamnya.

Jadi, apa yang akan saya cuba latih sekarang ialah mengajar anak saya bersembahyang sepenuhnya terlebih dahulu dan apabila semuanya dalam keadaan yang boleh dipertimbangkan maka barulah proses melatih berpuasa akan bermula. Namun mujur juga lah untuk anak-anak saya yang telah besar, proses berpuasa dan bersembahyang telah berjalan serentak. Jadi, kuranglah pening kepala dan jerit pekik daripada saya .:)

Bakun 2011
































Saya sempat ke Bakun, Sarawak pada awal bulan Julai yang lalu. Selepas setahun suami saya bekerja di sana, akhirnya saya turut berpeluang untuk melihat sendiri semua kerja yang masih lagi sedang berjalan di sana. Saya lampirkan beberapa pemandangan yang menarik yang saya sendiri rakamkan dan juga hasil daripada rakaman seorang jurugambar profesional.

Saturday, August 6, 2011

Salam Ramadhan



Alhamdulillah tahun ini kita berpeluang untuk menyambut Ramadhan sekali lagi. Bulan yang memang kita maklum akan keberkatannya ini tidak perlulah saya jelaskan dengan lebih panjang lebar lagi kerana sebagai orang yang dah pun masuk ke angka 40 rasanya semua pun dah faham sangat akan kebaikannya. namun demikian terdapat beberapa artikel yang boleh saya kongsikan bersama untuk kita sama-sama manfaatkan. Antara artikel yang menarik ialah artikel ini dan juga artikel ini. Apa-apa pun rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat menyambut Ramadhan.

Sunday, July 24, 2011

Berwajah Baru

Lamanya la tak menulis. Sibuk betul dengan macam-macam hal tapi dalam masa yang sama sempat jugak suruh Acurose siapkan theme baru untuk saya punya blog ni. Saya paling suka dengan dolly yang Acu buatkan tu dari mula-mula lagi saya terjumpa dolly tu dalam blog yang saya pernah baca. Apa lagi sejak tu saya jadi peminat setia Acu la.

Insyaallah mulai hari ni saya akan lebih kerap update blog saya sementelah cuti semster akan berakhir selepas hari raya.Waa...bestnya hidupku....

Tuesday, May 10, 2011

Pada masa depan...


View Larger Map

Pada masa depan macam-macam perkara boleh berlaku pada kawasan ini. Saya berharap sangat saya salah seorang pemilik dan bersama-sama berkembang seiring dengan pembangunan Bangi.

Tuesday, March 29, 2011

Dah 40 tahun...

Saya tempah kek ni supaya anak-anak saya seronok nak tiup kek tak kiralah birthday siapa...

Kek ni pemberian kawan saya, Sufiah...terima kasih su...

Kina beriya-iya buat kad istimewa ni utk saya

Ni macam pop-up card...


Buku Kina beli di sekolahnya selepas beberapa lama menyimpan duit...

Dalam beg ni ada getah rambut yang Kina bagi dekat saya juga..

Ni pulak Husna yang bagi. Note book kecik.

Hanan pun beli note book jugak.

Ini yg special sbb ni ialah music card...

Ada lagu happy birthday bila bukak kad tu...
Hari ni kalau ikut kiraan tahun Masihi ialah tarikh lahir saya. Tapi sebenarnya tarikh lahir saya dah lama berlalu iaitu pada 1 Rejab yang lalu mengikut tahun Hijrah. Seperti biasa saya dan anak-anak hanya potong kek sahaja dan kami meraikannya dengan penuh gembira walaupun secara sederhana...