Saturday, September 20, 2014

Wahai Sahabat ...berahsialah semahunya...

Ya Allah rupa-rupanya memang dah berkurun lamanya tak menulis. Sampai naik bersawang la blog ni. Asyik sibuk dengan urusan dunia sangat sampai tak ingat langsung nak update pasal apa yang berlaku seharian. 

Hari ni yang parah sangat nak menulis ni ialah pasal kisah sedih + tragis pasal sorang kawan di pejabat. Kisahnya bermula apabila tiba-tiba dia dimasukkan ke wad kecemasan gara-gara sakit semasa masuk kelas pada minggu kedua kami semua mula mengajar di semester baru. Disebabkan tak ada sesiapa pun beritahu saya, saya hanya terdapat tahu berita ini secara tak sengaja daripada PA di pejabat. Mula-mula tu tak la terkejut sangat sebabkan ingat sakit biasa sampailah kawan sebilik memberi hint penyakitnya ada kaitan antara hidup dan mati. Itu pun selepas dua hari dia dimasukkan ke hospital.

Masa tu saya punyalah berhempas-pulas 'merayu' kepada teman sebilik pujaan ramai itu bertanya tentang penyakit kawan kami ini tetapi demi kononnya menjaga rahsia maka dia dengan muka selamba dan tak berapa nak cantik itu, tetap cekal merahsiakan perkara tersebut. Masa tu hanya tuhan sahajalah yang tahu betapa nak meletupnya otak dan mendidihnya hati kerana walaupun saya telah menurunkan tahap harga diri pada takuk yang agak rendah, tetapi akibat sikap setia kawanya rakan sebilikku, maka dia tetap berpegang teguh enggan mendedahkan penyakit rahsia rakan sekerja kami.

Maka mulai detik itu apa lagi, saya pun bertekad (serta mengambil aura kecekalan hatinya) turut sama tak mahu lagi bertanya tentang penyakit rakan sekerja kami ataupun campur tangan urusan rakan kami walaupun rakan sebilik telahpun meletakkan status 'hidup-mati' dalam kesnya. Punyalah keras hati dan sakit hati tahap dewata raya diperlakukan oleh seorang yang sangat pakar dalam bidang menyakitkan hati orang lain ini. 

Episod rahsia-sakit hati-pecah kepala ini diteruskan lagi dalam sehari dua sampailah sang kepala mengambil keputusan untuk memanggil sidang musyawarah tergempar untuk akhirnya membongkar rahsia dan mendedahkan apa yang selama ini bebanan tanggungan mereka. 

Hasilnya memanglah diluar jangkaan dan memberi kesan letupan ibarat karakatoa di bumi Indonesia tanggal 1883. 

Ya Allah begini besar perkara yang dirahsiakan sebenarnya. Begini sengsara rahsia yang tersimpan utuh sebenarnya. Dan selayaknya bagi seempunya penyakit dan si penyimpan mohor rahsia-rahsia besar begitu rapi menjaganya.

Namun hati-hati yang dibiarkan terluka dan berdarah tanpa dirawat dan diasuh telahpun beransur-ansur pergi meninggalkan zon kejutan itu dan tak mampu lagi untuk memberi rasa sedih yang sama, rasa belas yang sama pada si penyampai cerita apatah lagi si pengidap penyakit. 

Semuanya lantaran tidak betah menjaga hati-hati lain yang tidak sakit menjadi sakit dan ikut terjerumus untuk menanggung sakit sama seperti si pengidap penyakit.

Namun kerna hati-hati yang telah sakit ini masih punya iman...doa iringan turut dipanjatkan walaupun pada hari-hari mereka rasa perlu menyumbang mereka dipinggirkan.

Allah...kau campakkan di hati rasa berkasih-sayang antara kami supaya tiada lagi hati-hati yang terluka dan sakit. Kau kurniakan kesihatan kepada rakanku dan semoga dengan iringan penyakit ini membantu mengangkat darjatnya supaya bakal ditempatkan bersama-sama kekasihMu...