Saturday, August 13, 2011

Mengajar anak berpuasa


Anak-anak saya seperti tahun-tahun yang lepas dah bersedia bila saya beritahu mereka perlu berpuasa pada tahun ini. Mula-mula saya bercadang hendak melatih Husna yang baru ke darjah 1 pada tahun ini, untuk turut sama bersama-sama kakak-kakaknya, iaitu Hanan (10 tahun) dan Sakina (9 tahun ) berpuasa tetapi memandangkan sembahyangnya pun masih lagi belum cukup, jadi saya pun tidaklah begitu memaksanya.

Sebenarnya hajat saya ini bertukar selepas saya membaca entri dari Wardina Saffiyah yang dihantar di laman Twitternya. Dia berkata tidak terdapatpun nas yang menyuruh anak-anak berumur sekian-kian mula berpuasa sebagaimana nas yang menyuruh ibu bapa mengajar dan mendidik anak-anak sembahyang seawal usia 7 tahun dan merotannya jika mereka masih ingkar apabila mencapai usia 10 tahun. Pendirian saya serta-merta bertukar kerana saya turut bersetuju dan mengiyakan pendapatnya. Anak-anak yang masih membesar perlukan khasiat dan walaupun proses berpuasa tidak akan menjejaskan tumbesaranya tapi kita sebagai ibu bapa tidaklah perlu terlalu tegas semasa melatih anak untuk berpuasa. Mungkin pada awalnya kita hanya perlu mengajar mereka berpuasa sekerat hari sahaja dan apabila mereka semakin biasa, secara tidak langsung mereka akan mula bertahan sehinggalah sampai waktu berbuka yang sebenar.

Amalan mengajar anak-anak bersembahyang seawal usia yang disarankan bukanlah perkara yang mudah. Tambahan bila kita perlu memastikan anak-anak perlu bukan setakat bersembahyang tetapi bersembahyang lima waktu. Menurut pandangan Wardina, dia berjaya melatih anaknya yang sulung (saya kurang pasti usia sebenar anaknya, mungkin dalam lingkungan usia 8/10 tahun) bersembahyang lima waktu. Bagi saya itu merupakan satu usaha yang patut kita pandang tinggi kerana saya maklum akan kesukaran untuk mendisiplinkan anak-anak pada usia begini kerana ia menuntut kesabaran yang bukan kepalang.

Seandainya anak-anak telahpun diterapkan dengan rutin bersembahyang selama lima waktu ini, saya berasakan kalau kita ingin melatih mereka berpuasa pun pada waktu ini mungkin masalah yang akan timbul  tidaklah begitu besar.

Sesuatu perkara yang amat biasa kita saksikan di kalangan masyarakat kita sekarang ialah rata-rata mereka berpuasa tetapi untuk menunaikan sembahyang lima waktu itu agak berat, apatah lagi untuk menunaikan sembahyang sunat tarawikh pada waktu malamnya.

Jadi, apa yang akan saya cuba latih sekarang ialah mengajar anak saya bersembahyang sepenuhnya terlebih dahulu dan apabila semuanya dalam keadaan yang boleh dipertimbangkan maka barulah proses melatih berpuasa akan bermula. Namun mujur juga lah untuk anak-anak saya yang telah besar, proses berpuasa dan bersembahyang telah berjalan serentak. Jadi, kuranglah pening kepala dan jerit pekik daripada saya .:)

Bakun 2011
































Saya sempat ke Bakun, Sarawak pada awal bulan Julai yang lalu. Selepas setahun suami saya bekerja di sana, akhirnya saya turut berpeluang untuk melihat sendiri semua kerja yang masih lagi sedang berjalan di sana. Saya lampirkan beberapa pemandangan yang menarik yang saya sendiri rakamkan dan juga hasil daripada rakaman seorang jurugambar profesional.

Saturday, August 6, 2011

Salam Ramadhan



Alhamdulillah tahun ini kita berpeluang untuk menyambut Ramadhan sekali lagi. Bulan yang memang kita maklum akan keberkatannya ini tidak perlulah saya jelaskan dengan lebih panjang lebar lagi kerana sebagai orang yang dah pun masuk ke angka 40 rasanya semua pun dah faham sangat akan kebaikannya. namun demikian terdapat beberapa artikel yang boleh saya kongsikan bersama untuk kita sama-sama manfaatkan. Antara artikel yang menarik ialah artikel ini dan juga artikel ini. Apa-apa pun rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat menyambut Ramadhan.